20 August 2009

FADHILAT RAMADHAN

Bulan Ramadhan atau dalam bahasa percakapan biasa disebut "Bulan Puasa" menjelang lagi. Bulan ini bukanlah asing bagi umat Islam dan mereka yang cintakan bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan ini sememangnya menunggu-nunggu akan ketibaannya.
Di dalam bulan Ramadhan, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa, sejajar dengan firman Allah S.W.T di dalam Al Quran Surah Al-Baqarah, ayat 183-184 seperti berikut:

Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari tertentu. Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) maka hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain."

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:

"Bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang diberkati Allah. Bulan yang mengandungi Lailatulqadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya supaya berpuasa supaya bangun di malam hari untuk melakukan ibadah sunat. Sesiapa yang mengerjakan ibadah sunat dalam bulan ini, maka pahalanya sama dengan mereka yang mengerjakan fardhu di bulan lain."

"Agama Islam itu terbina dengan lima asas iaitu, membuat pengakuan bahawa tiada Tuhan yang lain, melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu persuruh-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullah."

"Semua amal kebajikan anak Adam itu untuk mereka sendiri kecuali puasa, kerana puasa itu dilaksanakan untuk Aku semata-mata dan Aku akan membalasnya. Sebenarnya puasa itu sebagai perisai. Apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor dan sekiranya ia dimaki maka hendaklah ia berkata: aku berpuasa, aku puasa sebanyak dua kali. Demi Allah sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu dengan Allah (di akhirat)."

"Apabila tiba bulan pertama Ramadhan, syaitan dan jin yang jahat dibelenggu dan tertutup semua pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga dan pada setiap malam ada seruan: Wahai orang-orang yang ingin baik, majulah; wahai orang yang ingin jahat, hentikanlah dan Allah memendekkan beberapa banyak daripada api neraka dan yang demikian itu pada setiap malam."

"Setiap manusia akan mendapat kebaikan selama mereka itu menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur."

"Ramadhan bulan yang diwajibkan Allah puasa-Nya dan aku mencontohkan kepada kamu agar bangun sembahyang malam; maka siapa yang berpuasa dan bersembahyang malam, benar-benar kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah akan keluar daripada dosa-dosanya bagaikan keadaan ketika dilahirkan daripada perut ibu."

"Orang yang zikir (ingat) kepada Allah pada Ramadhan akan diampunkan baginya dan orang yang meminta daripada Allah di dalamnya (Ramadhan) tidak akan kecewa."

Ramadhan juga dikaitkan dengan bulan kesabaran kerana orang-orang yang berpuasa bukan sahaja dituntut meninggalkan makan dan minum tetapi juga menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa termasuk menjauhi hubungan kelamin sesama suami isteri pada siang hari. Kerana itu, sifat-sifat sabar sahaja yang menjamin kesempurnaan orang-orang Islam menunaikan puasa sebulan Ramadhan.

Sebagai ganjaran kepada kesabaran itu, Allah berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 96 iaitu:


"Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan."
Yang Tersirat Di Sebalik Ramadhan dan Puasa*

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis, puasa Ramadhan mempunyai banyak kelebihan, hikmat atau fadhilat. Antaranya ialah:

Pintu neraka ditutup: Apabila seseorang itu benar-benar berpuasa, zahir dan batin serta puasanya itu menyekat dirinya daripada melakukan maksiat dan kejahatan.

Pintu syurga dibuka: Peluang yang besar bagi seseorang melakukan amalan kebajikan yang boleh membawa kejayaan akhirat, menambah ketaqwaan kepada Allah dan setiap amalan kebajikan diberi ganjaran yang banyak.

Syaitan dikurung: Apabila seseorang berpuasa, syaitan dan iblis tidak mempunyai peluang untuk menggoda dan menghasut manusia melalui hawa nafsu kerana puasa merupakan perisai yang dapat menangkis sebarang hasutan dari syaitan.

Malam Lailatulqadar: Salah satu kelebihan yang Allah berikan untuk umat Islam dalam bulan Ramadhan ialah malam Lailatulqadar. Ini bererti sesiapa yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan ganjaran yang amat tinggi di sisi Allah.

Sementara itu dalam kegembiraan menyambut Ramadhan, fahamilah sejelas-jelasnya akan hakikat dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah tetapi dapat menunaikan puasa dengan sempurna. Antaranya ialah:

Menjadikan seseorang muslim itu lebih bertaqwa kepada Allah berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 seperti di atas dan melalui ayat 13, Surah al-Hujarat yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa."

Melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Kehidupan manusia memang sentiasa dirundung cabaran dan ujian-ujian Allah. Menegaskan mengenai cabaran di dunia, Allah s.w.t menegaskan di dalam ayat 155, Surah al-Baqarah:
Maksudnya, "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

Melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi nilainya. Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja seseorang itu berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.

Melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang-orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan, diharapkan seseorang Muslim itu tidak keberatan untuk memberi bantuan, sedekah atau sumbangan kepada golongan yang tidak berada. Amal jariah sememangnya dituntut di dalam Islam.

Sebagai senjata menahan manusia daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Tiada ertinya seseorang itu berpuasa tetapi pada masa yang sama melakukan perkara-perkara keji dan mungkar walaupun hanya melalui kata-kata. Sebab itu Rasulullah s.a.w berpesan: "Puasa itu sebagai perisai dan apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor, jangan menjerit-jerit serta jangan berlaku bodoh..."

Kesimpulannya, terdapat pelbagai falsafah yang tersirat di sebalik bulan Ramadhan yang hadirnya sekali setahun. Justeru itu, hayatilah pesanan Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadisnya yang bermaksud:

"Ramai di kalangan umatku yang berpuasa tetapi tiada mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga."


"SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA"
ps : mohon ampun dan maaf atas segala salah silap kepada sesiapa yang mengenali diri ni, tak kira sama ada rapat atau renggang, dekat atau jauh, di alam realiti atau di alam maya.... semoga kalian dan aku mendapat berkat dibulan Ramadhan dan inilah masanya untuk bermuhasabah diri kita untuk jadi hamba-Nya yang lebih soleh dan solehah. Amin.

No comments:

Post a Comment